Perutusan Sempena Pembukaan Semula Sekolah dan Universiti
Ini ialah terjemahan daripada teks asal dalam bahasa Parsi. Teks asal dalam bahasa Parsi
بسم الله الرحمن الرحیم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
یَرفَعِ الله الَّذینَ آمَنوا مِنکُم وَ الَّذینَ اوتُوا العِلمَ دَرَجات
Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. (Surah Al-Mujadalah 58:11)
Ambang tahun pengajian baharu dan pembukaan semula rumah-rumah ilmu dan adab di sekolah dan universiti membawa khabar gembira tentang kecergasan, harapan dan pergerakan pantas bangsa menuju masa depan yang cerah dan gemilang; masa depan yang terlaksananya terletak di tangan anak-anak Iran yang dikasihi lagi berkebolehan, yang dididik oleh madrasah Islam dan Revolusi Islam. Generasi yang sama yang berulang kali Khomeini yang Agung dan Khamenei yang agung lagi syahid, semoga Allah meninggikan kedudukan mulia mereka berdua, menyatakan harapan mereka kepadanya.
Kini, ketika pintu tahun pengajian baharu dibuka kepada sejumlah besar murid dan mahasiswa, dan para pengembara jalan ilmu dan hikmah dengan harapan akan taufik Ilahi memulakan tempoh baharu dalam memperoleh ilmu, makrifat dan kemahiran, wajarlah kita, bersama-sama ibu dan bapa yang berduka, sekali lagi memperingati murid-murid yang syahid dalam perang paksaan terbaru. Tahun ini, hari-hari awal tahun pengajian yang penuh kenangan memperbaharui kesedihan perpisahan dengan anak-anak kita yang telah pergi. Di sekolah dan universiti, ketiadaan sebahagian mahasiswa, pensyarah dan guru akan dirasai, dan kesedihan ini akan membimbing fikiran kita ke arah yang betul dalam pertembungan antara kebaikan dan kejahatan serta peperangan antara kebenaran dan kebatilan.
Tanggungjawab murid dan mahasiswa hari ini ialah berusaha melengkapkan diri dengan ilmu dan takwa, harapan dan akhlak, serta pengetahuan dan keupayaan, dan menyingkap tirai kejahilan dan kegelapan, sehingga dengan menembusi sempadan ilmu dan menawan puncak-puncaknya yang membina kemajuan, mereka dapat menunaikan misi sejarah mereka ke arah meninggikan Iran Islam. Tugas penting ini dilaksanakan di tempat yang dianggap sebagai rumah kedua mereka. Oleh itu, saya katakan kepada insan-insan yang dikasihi ini bahawa kalian perlu sentiasa memelihara kehormatannya dengan sebaik-baiknya, dan dengan meningkatkan lagi tahap kesedaran dan wawasan serta memperelok tingkah laku dan perwatakan kalian, jadikanlah ia pusat kemajuan tanah air kalian. Manfaatkanlah peluang kehadiran selama beberapa tahun di tempat perlindungan ilmu, adab, kecergasan dan harapan ini untuk sebanyak mungkin meningkatkan diri; peningkatan diri dalam unsur terpenting kehidupan manusia, iaitu hubungan dengan Pencipta Yang Maha Tinggi, peningkatan diri dalam hubungan dengan sesama manusia, rakyat senegara dan keluarga, serta peningkatan diri dalam memperoleh ilmu dan pelbagai kemahiran.
Dalam tempoh ini, latihlah diri untuk berfikir dengan betul dan berinisiatif, dan sentiasalah menjadi penjaga akar identiti nasional, kemuliaan dan kemerdekaan budaya kalian, bahasa ibunda, bendera suci sistem Islam dan simbol-simbolnya yang lain. Tidak lama lagi akan tiba giliran kalian untuk menemui peranan yang sesuai dalam masyarakat, dan pada ketika itu dengan melaksanakannya sebaik mungkin, kalian akan mengangkat martabat diri dan negara kalian.
Kini, pada zaman kebiadaban sistem penguasaan, khususnya kerajaan Amerika yang jenayah dan rejim Zionis palsu, bermaharajalela, kekuatan yang lahir daripada ilmu yang disertai takwa dan akhlak adalah bagaikan perisai besi dan pedang yang tajam yang memendekkan tangan-tangan penceroboh mereka daripada mengganggu umat manusia. Kini kalian hadir di bilik-bilik darjah yang mana generasi yang sedikit masa sebelum kalian duduk di atas bangku-bangkunya yang disayangi, kini di pelbagai barisan pertahanan tanah air dan maruah, sedang mencipta kemuliaan dan kekuatan bagi Iran Islam, dan merekalah yang akan menjadi teladan dan pelita jalan kalian; sebagaimana sebelum mereka ada insan-insan di bilik-bilik darjah yang sama yang dianggap sebagai teladan pengorbanan, lambang keagungan negara dan lagenda kebesaran dan kemuliaan.
Kata terakhir adalah mengenai para guru dan pensyarah. Kita semua terhutang budi kepada guru-guru kita di setiap peringkat pengajian. Golongan yang dikasihi dan disayangi ini, yang sering berhadapan dengan perasaan paling tulus para pelajar mereka, layak dimuliakan oleh semua dalam pelbagai majlis dan waktu. Sifat mulia diri dan qanaah yang biasanya dilihat pada mereka tidak menjadikan para pegawai berpuas hati dengan keadaan sara hidup mereka sekarang, dan insya-Allah dengan perancangan yang bijaksana, mereka akan melakukan usaha yang berkesan untuk memperbaikinya; khususnya kerana perkara ini, melangkaui pelaksanaan tugas undang-undang, adalah sesuatu yang lahir dari hati.
Salam, rahmat dan keberkatan Allah ke atas para pensyarah, guru, mahasiswa dan murid yang syahid dalam perang paksaan ketiga, dan yang paling utama di kalangan mereka, Pemimpin kita yang bijaksana dan pendidik agung yang syahid, semoga Allah meninggikan kedudukannya yang mulia, yang mempunyai hak besar ke atas kepesatan ketara ilmu di negara ini; terima kasih kepada semua pendidik, guru dan pensyarah dalam bidang ilmu pengetahuan dan agama; tahniah dan selamat datang kepada setiap murid dan mahasiswa bangsa Iran yang beruntung; dan diharapkan dengan doa junjungan kita yang penuh berkat, semoga Allah Taala menyegerakan kemunculannya yang mulia, mereka akan semakin berjaya dalam mencapai puncak-puncak ilmu, adab dan kemajuan, insya-Allah.
Sayyid Mojtaba Hosseini Khamenei, 31 Shahrivar 1405