Perutusan sempena penyelenggaraan ibadah haji
Ini ialah terjemahan daripada teks asal dalam bahasa Parsi. Teks asal dalam bahasa Parsi
بسم الله الرّحمن الرّحیم
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
لبَّیک اللّهمّ لبَّیک، لبَّیک لا شریک لک لبَّیک، إنّ الحمد و النّعمة لک و المُلک...
Ya Allah! Aku menyahut seruan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, dan segala pujian, segala nikmat serta segala kerajaan dan kekuasaan datang daripada-Mu dan milik-Mu...
Musim haji tahun ini juga telah tiba, dan para jemaah haji umat Islam telah berihram dalam pengabdian dan melafazkan talbiah untuk berhijrah daripada kehidupan kebendaan dan biasa kepada kehidupan Ilahi yang penuh kebahagiaan; kehidupan tauhid yang berpaksikan pengabdian kepada Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi, serta penolakan, penafian dan pelepasan diri daripada sekutu-sekutu yang dijadikan tandingan bagi Allah. Namun peluang hijrah ini bukan hanya milik para penziarah dan jemaah haji Baitullah tahun ini, malah merangkumi seluruh saudara dan saudari Muslim di Iran dan di seluruh dunia, daripada mereka yang telah menunaikan haji pada tahun-tahun lalu dalam hidup mereka hinggalah mereka yang belum berpeluang menunaikan ibadah haji.
Syarat hijrah ini ialah berihram secara berterusan di sekitar zikrullah; bertawaf secara berterusan mengelilingi paksi kebenaran; bersa'i secara berterusan di antara puncak-puncak tanggungjawab Ilahi yang besar; merejam secara berterusan syaitan yang jahat dengan segala manifestasinya yang menyesatkan dan semua pengikutnya; berwukuf yang disertai tumpuan dan rintihan; memberi makan kepada orang fakir yang lumpuh dan orang yang dalam perjalanan; mengorbankan hawa nafsu dan kecenderungan yang menyesatkan serta membersihkan kekotoran batin; dan dalam semua keadaan, sentiasa bersedia untuk berkhidmat dan mengibarkan panji pembelaan kebenaran.
Demikianlah bangsa Iran, di miqat Revolusi Islam, melangkah di jalan hijrah ini, menyahut seruan Ibrahimi Khomeini Agung, menanggalkan pakaian tunduk kepada dominasi, mengenakan ihram kebahagiaan dunia dan akhirat, dan sambil melaungkan labbaik serta berlari-lari anak, berusaha untuk bertawaf di sekitar paksi ajaran Islam Muhammadi yang tulen (selawat Allah ke atas baginda dan keluarganya serta salam sejahtera) dan mendekatkan diri kepada cahaya keadilan sejagat dan wilayah agung yang menerangi alam. الله اکبر، الله اکبر، لا اله الا الله والله اکبر، الله اکبر ولله الحمد، الله اکبر علی ما هدانا (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji, Allah Maha Besar atas petunjuk yang telah diberikan-Nya kepada kami).
Ya, Allahu Akbar... Dan dengan senjata Allahu Akbar inilah bangsa Muslim Iran bangkit empat puluh tujuh tahun yang lalu, menumbangkan rejim taghut Pahlavi yang diktator dan bergantung kepada kuasa asing, memotong tangan dan kaki Amerika yang tamak dan angkuh daripada negara ini, dan memutuskan sama sekali pengaruh Zionisme.
Dengan senjata Allahu Akbar inilah, selepas pencerobohan rejim Baath Saddam ke atas bumi Iran, para mujahid yang berani dan golongan muda yang rela berkorban mencipta epik lapan tahun Pertahanan Suci, dan walaupun semua kuasa Timur dan Barat menyokong rejim Baath, mereka telah mengembalikannya ke tempatnya, dan meneruskan keteguhan ini dengan kukuh dan mantap sehingga bertahun-tahun kemudian dalam menghadapi kepungan ekonomi, rampasan kuasa, sekatan yang zalim, serta serangan politik, propaganda dan ekonomi yang tidak terkira banyaknya oleh musuh terhadap Republik Islam.
Wallahu Akbar... Senjata Allahu Akbar inilah yang mengukuhkan ikatan hubungan umat Islam dan para pemuda mujahid Barisan Penentangan, dari Iran hingga Lubnan, Palestin, Iraq dan Syria, dari Afrika dan Yaman hingga Afghanistan dan Pakistan serta semua bangsa merdeka di dunia, agar tali yang kukuh ini bangkit mempertahankan kewujudan umat Islam daripada para penceroboh Zionis yang merampas, menggulung riwayat Daesh, mencetuskan Taufan al-Aqsa dan menyesakkan nafas rejim Zionis yang goyah.
Allahu Akbar; ya, Allah Tabaraka wa Ta'ala lebih besar daripada apa yang dapat digambarkan... Senjata Allahu Akbar inilah yang dengan bersandarkan kepadanya Republik Islam Iran berjaya melumpuhkan rejim Zionis di bawah pukulan-pukulannya yang dahsyat dalam perang yang dipaksakan kedua pada Khordad 1404, menampar keras Amerika yang menceroboh, dan menggagalkan musuh dalam matlamatnya untuk memaksa Iran menyerah.
Dan senjata Allahu Akbar memberikan kekuatan dan tenaga sedemikian rupa kepada bangsa Iran sehingga selepas peristiwa memilukan syahidnya Pemimpin Agung, putera warisan yang layak bagi Nabi yang Mulia (selawat Allah ke atas baginda dan keluarganya serta salam sejahtera), Ayatollah al-Uzma Sayyid Ali Hosseini Khamenei (semoga Allah meninggikan kedudukannya yang mulia) di tangan para durjana dunia hari ini, bangsa itu mengalami kebangkitan Ilahi, dan dengan kehadiran menyeluruh dalam setiap bidang yang diperlukan, telah memukau mata dunia dengan pencapaian-pencapaiannya yang membanggakan.
Allahu Akbar; sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta'ala lebih besar daripada apa yang dapat digambarkan... Dengan senjata Allahu Akbar inilah para pejuang yang berani dan angkatan bersenjata yang sanggup berkorban jiwa di Iran Islam, bersama para mujahid Barisan Penentangan, khususnya Lubnan yang dikasihi, mencapai kemenangan-kemenangan yang ketara menentang dua tentera pengganas Amerika-Zionis yang bersenjata lengkap hingga ke gigi dalam perang yang dipaksakan ketiga; dengan bertawakal kepada Tuhan dan melalui peluru berpandu serta dron mereka di darat, udara dan laut, mereka merejam Syaitan Besar, iaitu Amerika, dan binatang peliharaannya, rejim Zionis, serta menyaksikan dengan mata mereka sendiri janji benar Ilahi tentang pertolongan kepada para mujahid di jalan Allah.
Dan sekali lagi Allahu Akbar; tidak syak lagi Allah Tabaraka wa Ta'ala lebih besar daripada apa yang dapat digambarkan dan tentera-Nya mengatasi segala kuasa... Dan dengan senjata Allahu Akbar inilah, menyusuli kebangkitan bangsa Iran dan Barisan Penentangan, kebangkitan umat Islam akan berlaku, dan pelepasan diri daripada kaum musyrikin akan meluas daripada ibadah melontar jamrah dalam haji ke dalam medan kehidupan peribadi, sosial dan politik umat Islam di segenap pelosok dunia.
Umat Islam dan bangsa-bangsa di rantau ini memiliki banyak potensi dan kepentingan bersama yang akan membentuk tatanan baharu dan geometri masa depan rantau ini dan dunia. Saya dengan penuh kejujuran dan keikhlasan menyeru semua negara dan kerajaan Islam kepada persahabatan dan kerjasama dalam kebaikan dan kebajikan, agar dengan saling bekerjasama kita melangkah di jalan kemajuan umat Islam dan penyelesaian masalah-masalah dunia Islam.
Apa yang pasti dalam hal ini ialah jarum masa tidak akan berputar ke belakang, dan bangsa-bangsa serta negeri-negeri di rantau ini tidak akan lagi menjadi perisai bagi pangkalan-pangkalan Amerika. Amerika, selain tidak lagi memiliki tempat yang selamat untuk melakukan kejahatan dan menempatkan pangkalan tentera di rantau ini, dari hari ke hari semakin jauh daripada kedudukannya yang dahulu. Rejim Zionis yang goyah dan barah Israel juga semakin hampir kepada tahap-tahap akhir hayatnya yang malang, dan dengan kurnia Ilahi serta selaras dengan kata-kata tegas dan berpandangan jauh Pemimpin Agung yang syahid (semoga Allah menyucikan jiwanya yang suci) sepuluh tahun yang lalu (1), ia tidak akan melihat dua puluh lima tahun selepas tarikh itu, insya-Allah.
Oleh sebab itu, tahun ini isu pelepasan diri daripada kaum musyrikin mempunyai kepentingan yang berganda, dan kedalaman serta keluasan pelepasan diri daripada Amerika dan rejim Zionis melangkaui upacara bara'ah pada musim dan miqat haji; dan di pelbagai tempat di Iran dan dunia, serta selepas hari-hari yang penuh berkat ini, 'Matilah Amerika' dan 'Matilah Israel' akan menjadi slogan lazim umat Islam dan golongan yang tertindas di dunia, khususnya golongan muda.
Masa depan adalah milik umat Islam dan tamadun Islam baharu, dan setiap daripada kita mampu memainkan peranan dalam merealisasikan masa depan ini dan mendekatinya, sesuai dengan tekad, kemampuan dan tanggungjawab masing-masing.
Para penziarah dan jemaah haji Iran pada musim haji tahun ini mempunyai peranan yang berkesan dan menonjol dalam menceritakan kisah kemenangan perang yang dipaksakan ketiga kepada saudara dan saudari Muslim mereka yang lain serta memberikan harapan kepada mereka tentang masa depan yang cerah.
Saya meminta semua jemaah haji yang dikasihi agar bersungguh-sungguh berdoa untuk penyegeraan kemunculan Penyelamat umat manusia (semoga Allah Ta'ala menyegerakan kemunculannya), serta berdoa untuk perpaduan umat Islam, pembebasan Palestin dan Masjid al-Aqsa, penyelesaian kesusahan besar umat Islam dan pencapaian kemenangan terakhir menentang keangkuhan sejagat, dan agar turut memasukkan saya dalam doa kebaikan mereka.
Ya Tuhan kami! Limpahkanlah selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, dan liputilah para jemaah haji dan seluruh umat Islam dengan pandangan kasih sayang dan belas kasihan-Mu, kurniakanlah kepada mereka haji yang mabrur, terangilah hati mereka dengan cahaya makrifat dan basirah, dan kukuhkanlah lagi tekad dan kemahuan mereka untuk bergerak di jalan memperbaiki keadaan umat dan mencapai kemenangan terakhir ke atas musuh-musuh Islam.
Ya Tuhan kami! Turunkanlah kurnia dan rahmat-Mu yang luas ke atas roh-roh suci para syuhada di jalan Allah, khususnya para syuhada Barisan Penentangan dan yang teratas antara mereka, Pemimpin Agung yang syahid (semoga Allah meninggikan kedudukannya yang mulia), dan sampaikanlah kepada rohnya yang malakuti bahagian yang melimpah daripada haji para jemaah haji, ibadah para abid dan usaha para pejuang yang berada di bawah bimbingan dan kepimpinan pemimpin umat ini, dan bantulah bangsa Iran serta umat Islam dalam meneruskan jalan dan matlamatnya.
Ya Tuhan kami! Turunkanlah selawat dan salam-Mu yang paling utama ke atas penghulu dan maula kami, Hazrat Mahdi yang dinanti-nantikan (selawat dan salam Allah ke atasnya dan ke atas datuk-datuknya yang suci), dan masukkanlah kami semua serta umat Islam ke dalam doa-doanya yang suci dan mustajab, dan terangilah serta hiasilah alam ini dengan kedatangannya yang penuh berkat sebagaimana yang telah Engkau janjikan, sedang hati kami dipenuhi keyakinan terhadap janji yang pasti itu.
«وَعَدَ الله الَّذینَ آمنوا مِنکُم وَ عَمِلوا الصّالِحاتِ لَیَستَخلِفَنَّهُم فیالارضِ کَما استَخلَفَ الَّذینَ مِن قَبلِهِم وَ لَیُمَکِّنَنَّ لَهُم دینَهُمُ اَلَّذِی ارتَضی لَهُم وَ لَیُبَدِّلَنَّهُم مِن بَعدِ خَوفِهِم اَمنا»
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan. (Surah An-Nur 24:55)
والسّلام علی جَمیعِ اِخواننا المسلمین و رحمةالله و برکاته
Salam sejahtera ke atas seluruh saudara kami umat Islam, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya.
Sayyid Mojtaba Hosseini Khamenei
5 Khordad 1405
9 Zulhijjah 1447
(1) Ucapan dalam pertemuan dengan pelbagai lapisan rakyat, 18/06/1394